Sekolah Kebangsaan Kampung Bungan telah ditubuhkan dan siap dibina sekitar tahun 1963.
Sekolah ini dibuka dan memulakan sesi persekolahan pada awal Januari 1964 dengan bilangan murid seramai 44 orang dan seorang guru.
Pada awalnya, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan yang menempatkan dua buah bilik kelas dan sebuah rumah guru. Sekitar tahun 1980, sebuah bangunan tambahan dibina bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah selain sebuah rumah Guru Besar.
Bangunan tambahan ini menempatkan sebuah bilik guru, bilik Guru Besar dan dua buah bilik kelas.
Disebabkan pertambahan bilangan guru yang semakin ramai, sebuah rumah guru dua pintu telah dibina. Pada tahun 1991, atas ihsan pihak kontraktor kem pembalakan berdekatan, dua buah bangunan sementara dibina bagi mengatasi kekurangan bilik.
Disebabkan pertambahan bilik kelas, sebuah bangunan baru telah dibina pada tahun 1992 dan dinaik taraf menjadi sekolah berasrama. Bilik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan dua buah bilik darjah telah diubahsuai untuk dijadikan dapur asrama dan asrama murid-murid.
Sejajar dengan kemajuan sekolah, sebuah lagi rumah guru telah dibina bagi menampung bilangan guru yang terus bertambah pada tahun 1993. Pada tahun 2003, semua murid sekolah berpindah ke bangunan sekolah konkrit yang serba lengkap dengan satu blok akademik, satu blok asrama (Putera dan Puteri), satu blok pentadbiran dan sebuah dewan makan serta dapur.
Pada tahun 2004, kelas prasekolah telah dibuka bagi memenuhi keperluan pendidikan awal kanak-kanak. Atas inisiatif pengurusan sekolah dan PIBG serta komitmen jabatan, bangunan asrama lama telah diubahsuai menjadi dewan serbaguna bagi menambahkan kemudahan sekolah.
SK Kampung Bungan terletak 50 kilometer dari pekan Dalat dan 68 kilometer dari bandar Sibu. Satu-satunya jalan ke sekolah ini ialah jalan sungai iaitu melalui Sungai Batang Igan. Pergerakan masyarakat di sini seratus peratus menggunakan perahu, bot laju atau bot ekspress. Sekolah ini diklasifikasikan sebagai sekolah pedalaman 1 (satu) kerana ketiadaan kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih.
No comments :
Post a Comment